Alaf 15 - Berfikir di luar kotak!

Bagi sebarang maklumat lanjut atau penghantaran manuskrip kepada Alaf 15, harap dapat hubungi haryani@alaf21.com.my.

Monday, January 25, 2010

Bahasa Gaya Alaf 15

Wah! kali ini kita bercakap tentang bahasa yang Alaf 15 mahukan. Bagi kitorang, gaya bahasa ini penting dalam menarik pembaca membeli dan terus membaca karya kita.Ada penulis yang sukakan gaya bahasa santai, ada juga yang sukakan gaya bahasa sastera. Oleh kerana sasaran pembaca Alaf 15 berumur dibawah 25 tahun, kitorang lebih memberikan tumpuan kepada karya-karya pop untuk diterbitkan.

Tip bahasa Alaf 15:

Tulislah sesuatu yang santai dan mudah difahami. Tidak perlu terlalu berbunga-bunga contohnya, bagi menggambarkan suasana hujan:

"Air yang menderu turun dari langit bagai membelai bumi yang dahagakan kebasahan..."
Ayat diatas adalah contoh sahaja dan kami tidak mahu penulisan yang sebegini, editor pun boleh pening kepala menilainya.

Apabila mahu menyampaikan tentang hujan, tulis sahaja "Hujan turun semakin lebat..." mudah kan begitu, mengapa perlu pening kepala menulis ayat yang berbelit-belit.

Pada naratif.
Gunakan bahasa melayu standard, tidak boleh menggunakan bahasa lain melainkan jika tidak terdapat perkataan dalam Bahasa Melayu. Jangan gunakan bahasa pasar seperti je, tak, nak untuk naratif. Naratif perlu seimbang, ada ayat panjang dan ada ayat pendek. Naratif yang pendek-pendek untuk keseluruhan manuskrip akan membuatkan manuskrip korang kelihatan seperti skrip.

Pada dialog.
Boleh gunakan bahasa cakap-cakap. Tetapi elakkan penggunaan bahasa rojak iaitu campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, contoh "saya nak stay sekejap," Sekiranya mahu menulis dialog Bahasa Inggeris, tulis dengan ayat penuh. Elakkan juga penggunaan bahasa pasar yang keterlaluan, seperti trend-trend bahasa terkini.Elakkan juga penggunaan singkatan bahasa seperti bahasa sms.

Bahasa lain seperi bahasa Cina, Tamil Arab atau sebagainya boleh digunakan sama ada dalam bentuk perkataan, frasa mahupun ayat dengan syarat ia diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan ditulis dalam kurungan selepas perkataan, frasa atau ayat tersebut.

Loghat atau slanga boleh digunakan pada tempat-tempat tertentu di dalam dialog. Seboleh-bolehnya ia hendaklah diminimakan untuk kelancaran dan kefahaman bacaan.

Perkataan yang disingkatkan boleh dipakai seadanya mengikut gaya sebutan. Misalnya, hendak kepada nak; sudah kepada dah dan lain-lain seperti yang lazimnya.

Puisi.
Puisi dalam bentuk sajak, pantun, seloka, senikata lagu boleh dimasukkan.

ok, itu sahaja informasi untuk hari ini. Esok, nantikan informasi yang lain!

Bye!

Sunday, January 24, 2010

Bagaimana mahu menghantar karya?

Hai semua! Selamat hari Isnin! Hari Isnin ni kadang-kadang boleh jadi hari yang sangat ceria bagi mereka yang tak sabar-sabar mahu bekerja atau ke sekolah. Tapi boleh jadi hari yang muram bagi mereka yang malas-malas. Maklumlah, setelah dua hari bercuti, macam tak puas gitu kan...

Eh, tapi entri kali ini bukan nak bercerita tentang hari isnin, kitorang nak beritahu korang bagaimana caranya untuk menghantar karya korang kepada kitorang.

Oh, jangan risau. Caranya mudah saja.

Pastikan korang sudah siapkan sebuah manuskrip penuh.Tema dan genre Alaf 15 boleh rujuk entri sebelum ini. Karya mestilah asli dan hasil nukilan korang sendiri. JANGAN CIPLAK YA!
Manuskrip itu perlulah:
- ditulis dalam bentuk A4.
- double spacing.
- times new roman, font 12.
- minimum 150 muka surat, maksimum 350 muka surat.

Penghantaran karya penuh adalah bagi memastikan kesungguhan penulis dalam memberi komitmen menyiapkan manuskrip. Kitorang tak mahu penulis yang hanya berangan-angan kosong. Berjanji mahu berkarya, tetapi karya tidak juga dihantar. Ha...bila dah beri kitorang manuskrip penuh, mudahlah kitorang nak menilai atau menunjukkan bahagian mana yang perlu diperbetulkan.

Manuskrip yang sudah siap boleh dihantar menerusi dua cara iaitu:

1) Emelkan kepada haryani@alaf21.com.my
2) Poskan ke alamat: Alaf Dua Puluh Satu Sdn. Bhd.
Lot 12, Persiaran Kemajuan 16/16,
40200, Shah Alam, Selangor.

Tel: 03-55118820/03-55118821

Beri kitorang masa 2 minggu untuk proses penilaian. Itupun paling lewat. Manuskrip yang baik pasti akan diberi peluang, tetapi sekiranya manuskrip korang ditolak, jangan putus asa! Cuba lagi, sekurang-kurangnya korang berani memulakan langkah pertama.

Ok, itu saja dari Alaf 15. Sebarang pertanyaan boleh terus ajukan kepada Cik Haryani Kamilan kerana beliaulah yang menguruskan manuskrip Alaf 15 buat masa ini.

Terima kasih!

Thursday, January 21, 2010

Kenali Alaf 15

Jeng! Jeng! Jeng!

Dengan segala hormatnya, memperkenalkan unit baru dibawah Alaf 21 yang memberi fokus kepada produk remaja dan dewasa muda, Alaf 15!

Buat pengetahuan korang, Alaf 15 mempunyai beberapa produk yang sangat sesuai dengan citarasa pembaca yang berumur 13 hingga 25 tahun. Dengan pakej yang lebih trendy, korang pasti akan tertarik dan tidak melepaskan peluang untuk memilikinya. Bagi yang mahu mencuba menjadi penulis, korang boleh jadikan informasi berikut sebagai rujukan! Jadi, jom kita kenali produk Alaf 15!

Produk-produk:

Remaja Perempuan.

Gemarkan cerita yang funky? Chicky? Ala-ala gedik dengan latar kisah zaman sekolah, jangan segan silu untuk membelek novel-novel ini.

Sasaran pembaca bagi produk ini adalah dari usia 13 hingga 17 tahun.

Produk ini menumpukan tema penceritaan berkenaan persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan, fantasi, sains fiksyen, sukan, hobi, cinta monyet atau apa sahaja. Tetapi, cerita itu perlu mempunyai nilai-nilai moral dan tidak menyentuh sensitiviti kaum atau agama.

Genre cerita pula berbentuk humor, drama, thriller atau seram!

Remaja Lelaki.

Oh ya! Alaf 15 juga menerbitkan novel-novel remaja lelaki. Tetapi ianya tidaklah chicky dan gedik seperti novel pembaca perempuan. Tidak sesuailah pula kan...

Sasaran pembaca bagi produk ini juga dari usia 13 hingga 17 tahun.

Penceritaannya juga berkisar tentang persahabatan, kekeluargaan, pengembaraan, fantasi, sains fiksyen, sukan, hobi, cinta monyet atau apa sahaja, asalkan jalan ceritanya sesuai dengan selera pembaca remaja lelaki. Tetapi nilai-nilai moralnya jangan dilupakan, dan ianya juga tidak boleh menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Jalan cerita yang sempoi, tidak poyo dan menyampaikan nasihat tetapi tidak dengan cara mengajar-ajar akan diberi keutamaan.

Genre ceritanya adalah humor, drama, thriller atau seram.

Chick Lit

Oleh kerana novel chick lit sedang mendapat tempat di pasaran. Kami juga tidak mahu ketinggalan menerbitkannya. Tetapi, ramai yang masih tertanya-tanya, apa itu chick lit?

Ok...ok, chick lit adalah singkatan bagi chick yang bermaksud wanita muda dan lit pula adalah singkatan bagi literature. Oleh kerana itulah, chick lit menyasarkan pembaca lingkungan 18 hingga 25 tahun dengan jalan cerita juga berkisar latar zaman universiti atau wanita berkerjaya.

Hanya wanita yang stylish, hip, funky, obses terhadap kerjaya dan penampilan diri serta pandai berdikari sebagai watak utama.

Kisah romantik boleh dijadikan pemanis cerita, tetapi dalam novel chick lit, paparan hubungan kekeluargaan dan persahabatan lebih penting daripada hubungan romantik.

Jalan ceritanya pula disampaikan dalam bentuk humor dan santai.

Jurnal Peribadi.

Jurnal Peribadi adalah sebuah produk yang masih segar di Malaysia, belum benar-benar popular. Walaubagaimanapun, di Indonesia, produk sebegini semakin mendapat tempat dihati pembaca.

Ianya adalah sebuah novel yang digambarkan seperti diari ataupun blog.

Jurnal peribadi ini adalah sebuah kisah berkisar kehidupan seseorang individu sahaja, seperti pengalaman yang dilaluinya setiap hari, orang-orang yang ditemui, peristiwa-peristiwa yang mengubah dirinya. Perlu ada nilai-nilai moral yang juga boleh memberi pengajaran kepada orang lain.

Disampaikan dalam bentuk humor dan santai.

Kepada yang berminat untuk menjadi penulis kami, harap dapat emelkan karya anda kepada haryani@alaf21.com.my.

Berikut adalah syarat-syarat penghantaran karya:

- Ditulis dalam A4, times new roman. Font 12 dan double spacing.
- Kepanjangan karya: 150 hingga 300 muka surat.
- Karya mestilah asli. Jangan ambil hasil karya orang lain dan mengaku karya sendiri pula, ini
salah besar tau!

Rebutlah peluang menjadi penulis kami!